Buku

Syair Mawlid Melayu

Syair Sinar Gemala Mestika Alam” itulah nama gah bagi karya ulama, sasterawan dan intelektual Melayu yang bermukim di Pulau Penyengat yang terletak di sebelah barat Tanjung Pinang, Kepulauan Riau. Beliau adalah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad (1809 – 1870). Raja Ahmad ini adalah anakanda Raja Haji, Yamtuan Muda Kesultanan Johor-Riau ke-4 dan pahlawan Melayu-Bugis yang gugur syahid menentang penjajah Belanda. Masyhur dikisahkan bahawa Raja Haji gugur dengan menggenggam badek di tangan kanannya dan kitab “Dala-ilul Khairat“, kitab wirid sholawat karya Syaikh Abu ‘Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuuli rhm. di tangan kirinya.
Selain menjadi penasihat kepada Yamtuan Muda Riau, Raja Ali Haji mengabdikan dirinya untuk mengajar agama di Pulau Penyengat dan di antara yang menjadi muridnya ialah Raja Haji ‘Abdullah, Yamtuan Muda Riau ke-9. Antara kitab yang menjadi teks pengajarannya ialah “al-Mashodir“, “al-‘Awaamil“, “Ajrumiyyah“, “Ummul Barahin“, “Minhajul ‘Abidin” dan “Jawharatut Tawhid“. Beliau juga merupakan pengarang serba boleh yang menghasilkan karya berbentuk sejarah, undang-undang, agama, tatabahasa dan juga ensiklopedia. Antara karyanya ialah:-

  1. Tuhfatun Nafis (karya bersama ayahandanya);
  2. Silsilah Melayu dan Bugis;
  3. Tsamaratul Muhimmah;
  4. Muqaddimah fi intizam al-wazaif al-mulk;
  5. Bustanul Katibin;
  6. Kitab Pengetahuan Bahasa;
  7. Syair Siti Sianah;
  8. Syair Hukum Nikah;
  9. Syair Sinar Gemala Mastika Alam;
  10. Ikatan Dua Belas Puji;
  11. Gurindam Dua Belas;
  12. Syair ‘Abdul Muluk;
  13. Syair Hukum Faraidh; dan
  14. Syair Suluh Pegawai.

Mohd. Taib Osman dalam artikelnya yang dimuatkan dalam “Dewan Bahasa“, Februari, 1976 dengan jodol “ Raja Ali Haji dari Riau: Apakah beliau seorang tokoh transisi atau pujangga klasik yang akhir sekali?” menyifatkan beliau sebagai seorang pujangga yang terakhir sekali dalam peradaban Melayu lama.

Melihat kepada sumbangan dan jasanya terhadap anak bangsa, maka tidaklah hairan jika pada tahun 2006, jasa beliau diperingati oleh pemerintah Republik Indonesia dengan menobatkannya sebagai Pahlawan Nasional.

Syair Sinar Gemala Mestika Alam” yang dicetak oleh Mathba`atul Riauwiyyah tahun 1311 dimulakan dengan satu muqaddimah, 8 fasal dan satu khatimah. Untuk menikmati keindahan syair ini secara lengkapnya, ikhwah bolehlah dapatkan dalam “Puisi-Puisi Raja Ali Haji” yang diselenggarakan oleh Abu Hassan Sham, di mana halaman 444 – 458 memuatkan syair tersebut. Kompilasi tersebut mengandungi beberapa karya Raja Ali Haji dalam bahasa indah dan penuh mutiara ilmu, nasihat dan hikmah. Kunukilkan sekelumit dari syair mawlid tersebut:-

Fasal 1

Malam Isnin dua belas harinya
Dahulu sedikit daripada fajarnya
Masa diperanakkan oleh bondanya
Beberapa mukjizat zahir padanya

Setengah daripada irhas ikram
Menerangi cahaya tempat-tempat yang kelam
Masyriq dan maghrib tempat yang balam
Teranglah cahaya Sayyidil Anam

Setengah daripadanya irhas terala
Habis tersungkur segala berhala
Yang disembah oleh kafir yang cela
Ibadatnya batal tiada pahala

Setengah daripadanya hairan kira-kira
Bergoncang mahligai singgahsana Kisra
Terkejut atasnya hulubalang tentera
Lenyaplah akal budi bicara

Padamlah api yang disembah kuffar
Masa diperanakkan Sayyid al-Basyar
Beberapa lagi irhas yang besar-besar
Di dalam Barzanji berpanjangan khabar

Dihiasi syurga pada malamnya
Menyerulah segala ka-inat padanya
Masyriq dan maghrib tiap-tiap pihaknya
Ahlan wa sahlan perkataannya.

اللهم صل و سلم عليه

Fasal 8

………………………..

Sifat kepujian berhimpun kepadanya
Sifat kecelaan jauh daripadanya
Hai segala kamu umatnya
Ikutlah olehmu segala jalannya

Serta kasih akan dianya
Sukakan olehmu mendengar kisahnya
Apa lagi di bulan mauludnya
Harus dibesarkan itu waktunya

Seperti makan minum agahari
Jangan yang berat nyakiti diri
Menzahirkan kesukaan demikian peri
Kepada ahli al-Islam masyhuri

Kerana di beberapa negeri yang besar
Mengerjakan maulud Sayyid al-Basyar
Tiada ada ulama yang in(g)kar
Kerana adat hasanah yang benar

………………………………

Mudah-mudahan Allah merahmati Raja Ali Haji bin Raja Ahmad al-Haj dengan rahmatNya yang berpanjangan sehingga ke akhir zaman. Juga kepada sekalian ulama dan shulaha` beserta umat Muhammad sekaliannya…. Allahumma aamiin…. al-Fatihah.

Jika hendak mengenal orang berbangsa
lihat kepada budi dan bahasa

Jika hendak mengenal orang berbahagia
sangat memeliharakan yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang mulia
lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
bertanya dan belajar tiadalah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal
di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai


, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top