al-Baghawi

Misykat al-Masabih karya Imam al-Tabrizi

 
Pengenalan ringkas Imam al-Tabrizi

 

Nama penuh beliau ialah Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib
al-‘Amri al-Tabrizi. Digelarkan al-Tabrizi kerana dinisbahkan kepada Tibriz
iaitu satu kampung yang terletak di Azerbaijan sekarang ini. Beliau merupakan
seorang ulama yang mahir di dalam permasalahan hadith yang sering dipuji oleh
orang-orang sezamannya. [ Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah
al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik : al-Syeikh
Jamal ‘Ainaiya , Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal 12 ]



Tidak banyak dapat diperkatakan mengeni beliau kerana terlalu sedikit maklumat
mengenai latar belakangnya. Cuma apa yang dapat diperkatakan ialah mengenai
pujian beberapa orang ulama kepadanya. Antaranya Syeikh al-Allamah Hassan bin
Muahmmad al-Tibu di dalam kitab beliau Baqiyyah al-Auliya’ wa Qatb al-Sulha’
menganggap beliau sebagai seorang alim yang sukar ditandingi. Begitu juga
tanggapan al-Mala Ali al-Qari dan al-Kittani. Di antara karangan beliau
yang sampai ke tangan generasi terkemudian ialah Misykat al-Mashabih dan
al-Ikmal fi Asma’ al-Rijal. Beliau wafat pada 737H iaitu pada tahun
beliau menyempurnakan penulisan kitab Misykat al-Masabih pada hari Jumaat
terakhir di bulan Ramadhan.

 
Pengenalan al-Imam al-Baghawi


Oleh kerana kitab ini merupakan syarah kepada kitab Mashabih al-Sunnah
karangan Imam al-Baghawi, maka penulis merasakan amat perlu untuk turut
diperkenalkan beliau selaku penulis asal kepada kitab yang disyarahkan oleh
Imam Tabrizi.


Beliau ialah Abu Muhammad al-Husayn bin Mas’ud bin Muhamad bin al-Farra’ al-Baghawi.
Digelar sebagai Muhyissunnah atau orang yang menghidupkan sunnah kerana
kesungguhannya di dalam mempertahankan sunnah Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan
pada 433H di satu kampung bernama ‘Bagh’ yang terletak di Khurasan. Oleh kerana
itu, nama beliau dinisbahkan kepada kampung ini dan digelar sebagai al-Baghawi.


Ketika berumur 27 tahun, beliau bermusafir ke Marwu al-Ruzz Tempat ini
terletak lebih kurang 5 hari perjalanan dari kampung asalnya untuk
menuntut ilmu daripada syeikh-syeikh hadis di sana. Beliau merupakan seorang
pelajar yang tekun di dalam menuntut ilmu. Berkata Imam al-Zahabi mengenai
dirinya, “Beliau tidak akan belajar kecuali di dalam keadaan suci
(berwudhuk)
..” [ Muhamad bin Husayn al-Zahabi (t.t) Siyar a’lam al-Nubala’,
j.19, hal 441 ].


Di antara guru-gurunya ialah Abu Salih Ahmad bin Abdul Malik al-Naysaburi (m.
470H), Abu Ali al-Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Maruzi (m.352H), Abu Turab
Abd al-Baqi bin Yusof bin Ali bin Salih bin Abd al-Mulk al-Maraghi (m492H) dan
ramai lagi. Manakala di antara murid-muridnya ialah saudaranya Hassan bin
Mas’ud al-Baghawi (m529H) dan  Umar bin Hassan bin Husayn al-Razi (m606H)
iaitu ayah kepada al-Imam al-Razi penulis al-Tafsir al-Kabir.


Beliau menghasilkan banyak karya, antaranya 40 Hadis, al-Anwar fi Syamail
al-Nabiyy al-Mukhtar, Turjumah al-Ahkam fi al-Furu’ (bahasa farsi), al-Tahzib
fi al-Fiqh, al-Jam’u bayna al-Sahihain dan lain-lain. Beliau akhirnya meninggal
dunia pada bulan Syawwal tahun 510H. [ Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin
Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik :
al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya, Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal
10 ]
 

Pengenalan Kitab Misykat al-Masabih


Kitab ini merupakan huraian kepada kitab Mashabih al-Sunnah yang
disusun oleh Imam al-Baghawi. Ia merupakan kitab hadith yang memuatkan
hadis-hadis berkaitan persoalan iman (Penyusunan bab di dalam kitab ini mirip
kepada penyusunan Imam al-Bukhari di dalam sahihnya), ilmu dan seterusnya
persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Di dalam menyusun kitab ini,
Imam al-Baghawi pada asalnya meletakkan hadis-hadis tanpa sanad dan tidak
dijelaskan sumber ambilannya. Menyedari hakikat ini, Imam al-Tabrizi yang
dilahirkan beberapa ratus kemudian telah mengambil inisiatif untuk menyusun
semula hadis-hadis ini, diletakkan sanad, dinyatakan sumber ambilannya dan
diberikan sedikit komentar.  Ini dinyatakan sendiri oleh Imam Tabrizi di
dalam mukaddimahnya. Karya ini dicetak di dalam pelbagai edisi. Manakala
karya yang terdapat di tangan penulis berjudul Misykat al-Mashabih
 karangan Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri
al-Tabrizi. Ia diterbitkan sebanyak 3 jilid pada 2003 oleh Dar Kutub al-Ilmiah,
Beirut, Lubnan dan telah ditahkik oleh al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya.

Isi Kandungan Kitab


Kitab yang telah ditahkik ini dimulakan dengan muqaddimah daripada
pentahkik yang juga menyebut pengenalan ringkas kitab Misykat al-Mashabih.
Seterusnya ia diikuti dengan riwayat hidup Imam al-Baghawi dan Imam al-Tibrizi.
Seterusnya pentahkik menjelaskan metodologinya di dalam mentahkik kitab ini.
Antara metodologinya ialah :
 
ü  Membuat perbandingan naskhah asal (makhtutat) kitab ini dengan kitab
yang telah dicetak yang terdapat di perpustakaan.

ü  Membuat perbandingan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini
dengan naskhah asal Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Mashabih oleh al-Malla
Ali al-Qari al-Harwi. Menurut pentahkik, beliau menemui beberapa perbezaan.

ü  Membuat takhrij hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini
-Meletakkan tanda baca.

ü  Meletakkan nombor bilangan hadith.[Metode ini dijelaskan sendiri oleh
pentahkik di dalam muqaddimahnya]

ü  Kemudian ia diikuti dengan muqaddimah daripada Imam al-Tibrizi yang
menjelaskan sedikit sebanyak faktor-faktor yang mendorong penulisan kitab ini.
Beliau seterusnya meletakkan hadith yang berkaitan dengan niat yang berbunyi :

 إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Hadith ini
diriwayatkan hampir kesemua ulama hadis dan ia mencapai taraf sahih mutawatir sebagai
hadis yang pertama sekalipun ia bukanlah merupakan yang pertama di dalam
naskhah asal Masabih al-Sunnah.

Mengenai penyusunan bab-bab di dalam kitab ini, Imam Tibrizi mengekalkan
susunan yang dilakukan oleh Imam Baghawi. Ia dimulakan dengan kitab Iman
diikuti dengan kitab ilmu, taharah, solat, janaiz, zakat, puasa, kelebihan
al-Quran, doa, manasik, jual beli, faraid dan wasiat, nikah, ‘itq, sumpah dan
nazar, qashash, hudud, imarah dan qadha’, jihad, buruan dan sembelihan,
makanan, minuman, pakaian, perubatan, mimpi, adab, riqaq, fitan, hal ehwal kiamat,
fadhilat dan akhir sekali manaqib.


Secara keseluruhannya, Misykat al-Mashabih ini mengandungi 30 kitab yang
dipecahkan masing-masing kepada beberapa bab. Jumlah keseluruhan bab yang
terdapat di dalam karya ini lebih kurang 350 buah bab. Manakala jumlah
keseluruhan hadith di dalam karya ini ialah 6285 buah hadith.




Kelebihan Kitab


Kitab ini boleh diibaratkan sebagai ringkasan kepada Sahih Bukhari di mana
penyusunan isi kandungannya hampir sama dengan sahih tersebut. Apa yang
membezakan di antara keduanya ialah bilangan hadis yang lebih banyak terdapat
di dalam Sahih Bukhari dan juga taraf hadis. Pembaca kitab ini akan dapat
menghayati tuntutan hidup seorang muslim berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.
Selain dari itu, perbahasan dipecahkan kepada beberapa fasal mengikut orientasi
isi kandungan hadith memudahkan pembaca membuat rujukan kepada mana-mana hadith
yang dikehendaki.


Kelemahan



Penulis iaitu Imam Imam Baghawi dan Imam Tibrizi ternyata tidak meletakkan
hadith-hadith yang dianggap sahih sahaja di dalam kitab mereka. Ini menyebabkan
bercampurnya hadith-hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah dengan
hadith-hadith yang sahih. Menurut Sheikh Nasiruddin al-Albani, jumlah hadith
dhaif di dalam kitab ini ialah sebanyak 773 buah hadith dan hadith maudhu’ pula
sebanyak 19 buah [ Merujuk kepada perisian Maktabah Syamilah] Ini boleh
menyebabkan pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu hadith akan terpengaruh dan
menjadikan sandaran mereka ke atas hadith-hadith yang lemah malah palsu.

 
 
Artikel di atas dinukil dari pautan http://ibnnajib.blogspot.com/2011/04/misykat-al-masabih-oleh-al-imam-al.html dan http://ahmadfadhli.wordpress.com/2008/06/26/misykat-al-masabih-oleh-al-imam-al-tabrizi/. Semoga bermanfaat

 

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top