Amalan

Minhajuth Thalibin – Habib `Umar

“Minhajuth Thalibin wa Umdatul Muftin” adalah antara karya monumental al-Imam al-Quthub Abi Zakaria Muhyiddin an-Nawawi rahimahullah. Ianya adalah antara materi penting yang menjadi kajian dan rujukan para pengikut mazhab Sulthan al-A-immah Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Almarhum KH Sirajuddin Abbas rahimahullah menyatakan bahawa kitab ini adalah satu – satunya kitab fiqih agama Islam yang mula-mula masuk ke Indonesia dan kitab ini juga telah dijadikan teks utama dalam pengajian fiqh Syafi`i di berbagai pondok, madrasah, pesantren dan masjid sejak kurun ke-7H lagi.

Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana para ulama di Timur Tengah juga mempunyai pandangan yang tinggi kepada karya Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu ini. Tidak ketinggalan juga para ulama Ahlil Bait di Hadhramaut, sehingga ramai daripada mereka yang menghafal kitab ini. Shahibur Ratib al-Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah sentiasa memberikan perhatian yang khusus kepada kitab ini. Bahkan beliau telah berpesan kepada murid – muridnya, Syaikh `Abdullah Baubad rahimahullah dan Syaikh `Ali Baras rahimahullah untuk mentelaah kitab “Minhajuth Thalibin” ini dan menyatakan :-

Kitab ini mengandungi penuh berkat kerana ia padat dengan ilmu. Kenapa tidak, kerana Imam an-Nawawi adalah penghulu segala wali dan dia mendoakan kepada mereka yang membaca kitab tersebut. Dan sesiapa yang membacanya nescaya akan dibukakan Allah ta`ala rahsia-rahsia ilmu zahir dan batin.  

Perhatian yang diberikan oleh para ulama terhadap kitab ini sungguh luar biasa. Berpuluh – puluh syarah bagi kitab ini telah ditulis oleh ramai ulama kenamaan. Antara yang masyhur yang menjadi rujukan penting dalam mazhab asy-Syafi`i adalah “Tuhfatul Muhtaj” karya Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, Nihayatul Muhtaj” karya Imam Syamsuddin ar-Ramli rahimahullah dan “Mughnil Muhtaj” karya Syaikh Muhammad Syarbaini al-Khatib rahimahullah. Mudah-mudahan Allah `azza wa jalla membalas Muhyiddin an-Nawawi dan segala ulama dengan sebaik-baik balasan atas segala usaha mereka dalam memartabatkan ilmu dan hukum Allah atas muka bumi ini. 


, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top