Daud Fathani

SULLAM AL-MUBTADI (سلم المبتدي)

Kitab Sullam al-Mubtadi (سلم المبتدي) merupakan sebuah kitab kecil yang berbentuk
matan fiqh mazhab al-Syafi’i karya al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani seorang ulama dunia
Melayu yang terkenal pada abad ke 19 Masihi.

Mengenai judul penuh bagi kitab ini, dari pengamatan saya
terdapat dua judul yang biasa disebut dan dicatat oleh para pengkajinya. Judul
yang pertama ialah Kitab Sullam al-Mubtadi Fi Ma’rifah Thariqah al-Muhtadi
(Tangga Bagi Orang Yang Memulai Belajar)
, ia menjadi judul bagi kebanyakan
kitab Sullam al-Mubtadi yang dicetak dan judul ini disebut oleh Haji Mohd
Shaghir Abdullah ketika beliau menyenaraikan karya-karya Syeikh Daud al-Fathani
dalam beberapa artikel.

Judul yang kedua ialah Kitab Sullam al-Mubtadi Fi Bayan
Thariq al-Muhtadi
. Ia ada disebutkan oleh Syeikh Daud al-Fathani di akhir
Kitab Sullam al-Mubtadi ini. Ada saya lampirkan kata-kata beliau itu dalam
artikel ini. Saya juga ada melihat judul ini bagi sebuah manuskrip tulisan
tangan. Manuskrip ini boleh dibaca di pautan
 سلم المبتدي.

Kitab ini amat terkenal dipelajari di pusat pengajian sama
ada di pondok dan masjid di nusantara. Ia telah diulas dan dihuraikan oleh para
ulama semasa kuliyah pengajian mereka sejak dahulu sehingga kini.

Kitab ini membicarakan tentang ilmu usuluddin mengikut
fahaman Ahli Sunnah wa Jama’ah dan juga berkenaan hukum fiqh. Secara umumnya
kitab ini boleh dikatakan kitab fiqh kerana sebahagian besar kitab ini dipenuhi
dengan perbincangan bidang fiqh. Hanya pada awal kitab sahaja dibicarakan
mengenai ilmu aqidah iaitu dalam Bab Fi al-‘Aqidah ( Ini Suatu Kitab Pada
Menyatakan I’tiqad).
Manakala perbincangan seterusnya dimulai dengan Kitab
al-Shalah (Ini Suatu Kitab Pada Menyatakan Sembahyang)
 dan diakhiri dengan Kitab al-‘Itq ( Ini
Suatu Kitab Pada membicarakan Hukum Merdeka).

Susunan Kandungan Kitab Sullam al-Mubtadi

Kitab Sullam al-Mubtadi ini dimulai dengan satu muqaddimah
oleh Syeikh Daud al-Fathani dan disusuli dengan Bab Fi al-‘Aqidah yang
dipecahkan kepada beberapa fasal. Kemudian ia membincangkan sebahagian besar
bidang fiqh dengan membahagikan perbicaraannya kepada 16 buah Kitab, dan setiap
kitab dipecahkan kepada beberapa Fasal. Kitab Sullam al-Mubtadi ditutup dengan
satu al-Khatimah.

Berikut adalah kitab-kitab yang dibincangkan oleh Syeikh
Daud al-Fathani dalam Kitab Sullam al-Mubtadi;

1.  Kitab
al-Shalah

2.  Kitab al-Zakah

3.  Kitab
al-Shiyam

4.  Kitab al-Nusuk

5.  Kitab al-Adhhiyah
wa al-‘Aqiqah wa al-Zaba-ih

6.  Kitab al-Bay’

7.  Kitab Ahkam
al-Fara-id wa al-Washaya

8.   Kitab al-Nikah

9.   Kitab al-‘Iddah

10   Kitab al-Janayat

11.  Kitab al-Hudud

12.  Kitab al-Jihad

13.  Kitab al-Sabq wa
al-Ram-y

14.  Kitab al-Aiman wa
al-Nazr

15.  Kitab al-Qadha wa
al-Syahadat

16.  Kitab al-‘Itq

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, Syeikh Daud al-Fathani
telah menutup kitabnya ini dengan satu penutup (Khatimah) yang dipecahkan pula
kepada beberapa fasal yang membicarakan mengenai tasawwuf dan adab.

Di akhir Khatimahnya, Syeikh Daud al-Fathani telah mengakhiri Kitab Sullam al-Mubtadi dengan katanya;

“ Telah sempurnalah maksud al-faqir ilaLlah
Ta’ala Daud bin ‘Abdullah al-Fathani daripada menterjemahkan risalah yang
bernama Sullam al-Mubtadi Fi Bayan Thariq al-Muhtadi ……….pada hari Isnin 13
hari bulan Rejab al-Asham pada Hijrah Nabi  1252.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab Sullam al-Mubtadi selepas
petikan di atas, Syeikh Daud al-Fathani sudahi kata-katanya dengan sebuah doa.

Syarah dan Huraian Kitab Sullam al-Mubtadi

Setakat pengetahuan saya, hanya terdapat satu kitab syarah
atau huraian Kitab Sullam al-Mubtadi yang telah disusun dan diterbitkan. Iaitu kitab 
Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi, karya al-‘Allamah Muhammad Nur bin Muhammad bin
Isma’il al-Fathani. 
Manakala syarah atau huraian dalam bentuk audio
(ceramah/kuliah) banyak dilakukan oleh para ulama masa kini semasa sesi
pengajaran mereka. Syarah-syarah berbentuk audio boleh diperolehi di
laman-laman yang mengumpukan kuliah-kuliah para ulama/ustaz. 

Edisi Baru Kitab Sullam al-Mubatadi

Baru-baru ini saya ada membeli sebuah Kitab Sullam
al-Mubtadi edisi Rumi yang dterbitkan oleh ALHIDAYAH HOUSE, cetakan 1, 2012.
Kitab ini telah dialih tulisannya dari Jawi ke Rumi oleh panel yang diketuai
oleh Ustazah Noraine Abu tanpa sebarang pindaan daripada teks asalnya bagi
memudahkan pembaca mengikuti setiap patah perkataan yang terdapat dalam teks
asalnya. Gambar di atas merupakan kulit (cover) bagi kitab ini.



Kitab edisi Jawinya boleh dimuat turun di pautan 
https://ia801609.us.archive.org/25/items/SulamAlMubtadi/Sulam%20al-Mubtadi.pdf

Semoga
bermanfaat.

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top