
S: Mengikut apa yang dijelaskan oleh al-Imam al-Azra`i, tidak harus kita menyuruh kanak-kanak kecil supaya mengerjakan solat, kerana kanak-kanak (yang masih kecil itu) belum tahu lagi apa agamanya walaupun dia sudah mumaiyiz dan sudah memiliki ciri-ciri keislaman (kerana kedua-dua ibu bapanya orang Islam). Tidak harus kita menyuruh dia bersolat kerana pada anggapan kita, ada kemungkinan dia akan menjadi seorang kafir. Begitu juga kita tidak boleh menghalang (seorang kanak-kanak kecil) melakukan solat kerana tidak ada bukti tentang kekufurannya, seperti kanak-kanak yang dijual sekarang ini (sama ada kanak-kanak Islam dijual kepada orang kafir atau sebaliknya). Adakah kata-kata Syeikh al-Imam al-Azra`i itu muktamad ataupun tidak?
J: Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh al-Imam Azra`i itu adalah yang muktamad.
Allahu .. Allah, orang yang jahil dan dhoif seperti ese pun akan dapat melihat kejanggalan dalam pernyataan di atas sebagaimana tercatat dalam buku Furu` Masail versi Rumi tersebut. Ini adalah kerana seolah-olah Imam al-Azra`ie rahimahUllah berpendapat bahawa:-
- Kanak-kanak yang masih kecil tidak boleh disuruh sholat.
- Agama kanak-kanak kecil adalah belum diketahui walaupun dia sudah mumaiyiz dan ibubapanya beragama Islam.
- Kita tidak boleh menyuruh kanak-kanak sholat kerana ada kemungkinan dia kelak akan jadi kafir.
- Boleh menjual kanak-kanak Islam kepada kafir.
Persoalannya adakah ini yang dimaksudkan oleh Imam al-Azra`ie ?????? Adakah Imam Azra`i menyatakan bahawa kanak-kanak kecil yang sudah mumaiyiz termasuklah anak-anak kita yang beragama Islam tidak boleh disuruh atau diperintahkan mengerjakan sembahyang kerana mereka tidak beragama atau ada kemungkinan mereka menjadi kafir ??????? Bukankah Junjungan Nabi SAW menyuruh kita memerintah anak-anak kita yang Islam ini untuk sholat apabila berusia 7 tahun dan dipukul jika meninggalkannya apabila mencapai usia 10 tahun. Adakah anak-anak kecil itu dianggap tidak beragama ????? Bukankah menurut hukum fiqh bahawa agama kanak-kanak kecil yang belum baligh adalah menurut agama orang tuanya. Sungguh pemahaman Shohibul Fadhilah tersebut adalah jauh meleset daripada apa yang sebenarnya dinyatakan oleh Imam Azra`i sebagaimana disebut dalam kitab asal “Furu’ Masail” yang diterjemah oleh Syaikh Daud.
Dalam kitab asal “Furu’ al-Masail” yang diterjemah oleh Syaikh Daud pada halaman 54 Juzuk 1 ianya ditulis sebagai berikut (segala tanda perhentian itu tambahan alfaqir):-
(Suila RA) Barang yang dikata oleh Imam Azra`ie menuntut faham iaitu tiada harus kita suruh kanak-kanak sembahyang iaitu kanak-kanak tiada ketahui akan apa agamanya dan pada hal sudah mumaiyiz bersifat ia rupa Islam. Maka tiada harus kita suruh ia sembahyang kerana kita ihtimalkan ada ia kafir. Dan tiada boleh kita tegahkan dia daripadanya kerana tiada tahqiq akan kufurnya dan iaitu budak yang dijual sekarang. Adakah pada perkataan itu muktamad atau tidak. (Dan jawabnya) Maka barang yang dikatanya itu muktamad.
Apa yang dijelaskan oleh Imam Azra`ie tersebut sebenarnya berkait dengan kanak-kanak kecil (yakni yang belum baligh walaupun telah mumaiyiz) YANG TIDAK DIKETAHUI AKAN AGAMANYA. Mereka-mereka inilah yang tidak boleh dipaksa untuk sholat walaupun sudah mumaiyiz dan berpenampilan seperti orang Islam. Oleh itu, kanak-kanak yang sedemikian (yakni kanak-kanak yang belum baligh yang tidak diketahui agama mereka) seperti kanak-kanak yang dijual sebagai hamba pada zaman dahulu yang tidak diketahui apa agama mereka, maka mereka inilah yang tidak boleh dipaksa untuk menunaikan sholat kerana wujudnya kemungkinan (yakni adanya ihtimal) yang mereka ini adalah kafir kerana mungkin mereka anak-anak orang kafir. Ini adalah kerana agama seseorang kanak-kanak yang belum baligh itu adalah menurut agama ibubapanya atau keturunannya dengan beberapa tafsil yang dinyatakan dalam kitab-kitab fiqh. Perlu juga kita perhatikan bahawa jawapan tersebut lebih merujuk kepada masalah yang berlaku pada zaman dahulu berhubung status agama kanak-kanak yang dijual sebagai hamba abdi yang tidak diketahui asal usul dan agama mereka. Sedangkan kanak-kanak yang diketahui beragama Islam kerana ibubapanya adalah Islam atau berketurunan Islam, tidaklah termasuk dalam kelompok yang dimaksudkan oleh Imam Azra`i.
Jadi jelaslah apa yang dikehendaki oleh Imam Azra`ie itu hanyalah ditujukan kepada KANAK-KANAK YANG BELUM BALIGH YANG TIDAK DIKETAHUI AGAMANYA …. ulang sekali lagi KANAK-KANAK YANG TIDAK DIKETAHUI AGAMANYA. Kalau anak-anak kita yang beragama Islam ni, maka lain pula hukumnya. Anak-anak kita yang beragama Islam maka mereka ini wajib disuruh bersholat apabila berusia 7 tahun dan jika mereka melalaikannya tatkala berusia 10 tahun maka hendaklah diberi hukuman sebagaimana dinyatakan dalam hadits yang masyhur:-
“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk sholat apabila mereka berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya apabila mereka berusia 10 tahun.”
Diharap Shahibul Fadhilah dapat meneliti kembali buku tersebut dengan saksama dan memperbetulkannya semula agar masyarakat awam tidak keliru. Ampun maaf jika terkasar bahasa yang membawa kepada terguris rasa. Almaklum sajalah, faqir ini baru belajar, hanya mampu bertatih selangkah dua. Kepada segala ikhwah faqir berpesan seperti biasa, biarlah kita belajar secara berguru, carilah guru yang benar agar ambilan kalian bertentuan, terselamat dari segala ketidakkeruanan serta tidak keliru tak tentu tujuan, sehingga tersesat di penghujung jalan, tak tahu jalan nak pulang.
Atasnya rahmat Allah lagi dikasihi

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.