
Beliau telah mengembara ke berbagai tempat untuk mengkaji, mengumpul maklumat dan bahan. Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu. Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan. Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.
Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Selain menulis buku, beliau juga aktif mengadakan seminar, membuat kertaskerja-kertaskerja dan menulis berbagai rencana dan artikel. Tulisan-tulisannya pernah mengisi majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Majalah Dakwah, Al-Islam dan Jurnal Dewan Bahasa. Dan sejak beberapa waktu dahulu, Utusan Malaysia setiap Isnin memuatkan tulisan beliau memperkenalkan para ulama kita terdahulu. Dengan ilmu dan bahan yang diperolehnya, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir boleh dianggap sebagai pakar rujuk manuskrip klasik Melayu dan ulama Nusantara. Apa tidaknya, beliau menjadi tumpuan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alam Melayu. Bahkan, tidak kurang 500 pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia yang mendapat khidmatnya untuk membuat thesis dan bahan pengajaran mereka.
Maka sewajarnya, jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya kita kenangkan dalam benak sanubari kita. Pemergiannya kembali ke hadrat Allah s.w.t. merupakan satu kehilangan kepada dunia Islam amnya dan dunia Melayu khasnya. Mudah-mudahan Allah membalasi beliau dengan sebaik-baik balasan dan menempatkan beliau bersama dengan para ulama yang beliau kasihi dan para sholihin. Juga semoga sepeninggalan beliau, tempatnya dijadikan ada penggantinya. Allahumma ….aamiin …… al-Fatihah.

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.