Aqidah

Kitab Perukunan

Kitab Perukunan
merupakan sebuah kitab yang sangat popular di dalam kehidupan masyarakat
Banjar khususnya dan masyarakat Melayu umumnya. Bagi masyarakat Banjar, Kitab
Perukunan ini tidak hanya dipelajari, akan tetapi juga menjadi rujukan  utama dalam melaksanakan ibadah seharian.
Dalam bahasa Banjar, “perukunan
bermakna huraian asas  tentang
perkara-perkara yang diwajibkan oleh agama yang harus dilaksanakan dalam
kehidupan seharian, mencakup rukun Islam (fikih), rukun Iman (tauhid), dan
rukun Ihsan (tasawuf).

Salah satu kitab perukunan
yang terkenal adalah “ Perukunan Jamaluddin ”. Kitab ini pertama kali diterbitkan oleh
Mathba‘ah al-Miriyah al-Kainah, Mekkah, pada tahun 1315 H/1897 M. Selanjutnya
diterbitkan di Singapura pada tahun 1318 H. Setelah itu diulang cetak  di Bombay, Thailand, Indonesia dan Malaysia hingga sekarang. Meski kitab ini tampak sederhana
tetapi merupakan salah satu yang paling popular di antara kitab-kitab sejenis,
dan sering diulang cetak. Selain di Indonesia, kitab ini juga dipelajari kaum
muslim di Malaysia, Philipina, Vietnam, Kamboja, dan Myammar.

Penyusun
Kitab Perukunan
Para penyelidik telah
berbeza pendapat mengenai penyusun sebenar bagi Kitab Perukunan. Terdapat dua
nama yang biasa dikaitkan dengan kitab Perukunan ini, iaitu Syaikhah Fatimah binti
Syaikh Abdul Wahab Bugis dan Syaikh Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad
al-Banjari.

 

Syaikhah Fatimah
merupakan cucu perempuan pertama kepada Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari
melalui anak perempuan yang bernama Syarifah, yang berkahwin kemudiannya dengan
Syaikh Abdul Wahab Bugis. Syaikah Fatimah menguasai berbagai ilmu-ilmu
keislaman yang dipelajari dari ayah dan datuknya. Beliau mahir dalam bidang ilmu
bahasa Arab, Ilmu Tafsir, Ilmu Hadits, Ushuluddin dan Fikih.. Beliau kemudian
bersama-sama dengan saudara seibunya Muhammad As’ad dengan tekun dan gigih
menyebarkan ilmu mereka kepada masyarakar Banjar. Mereka berdua dikenali
sebagai “bunga ilmu” tanah Banjar.
Menurut riwayat, jika Muhammad As’ad menjadi guru bagi kaum lelaki, maka
Fatimah pula menjadi seorang guru bagi kaum perempuan yang ingin belajar ilmu
agama pada zamannya.

Manakala, Syaikh
Jamaluddin bin Syaikh  Muhammad  Arsyad al-Banjari yang lahir pada tahun 1870M
ini sememang seorang ulama yang paling terkemuka di Kalimantan Selatan pada
zamannya. Dengan “nama besarnya” itu adalah suatu yang dilihat wajar, jika Kitab
Perukunan  yang sangat popular ini
dianggap sebagai karya Syaikh Jamaluddin.  Bahkan, penyelidik terkenal kitab-kitab Jawi
di Nusantara Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah ada menegaskan perkara tersebut
dalam penulisan beliau. Namun begitu,  beliau
 tetap mengakui bahawa sesungguhnya penulis
sebenar karya tersebut memang masih dalam perdebatan.

Selain pendapat di atas, terdapat
juga maklumat lain yang menyatakan bahawa perukunan yang dikenali juga sebagai Perukunan
Besar
dan Perukunan Melayu  ini merupakan karya saudara perempuan Syaikh
Jamaluddin, yang bernama Syarifah, iaitu ibu kepada Syaikah Fatimah. Namun,
sebagaimana yang ditegaskan oleh Prof Martin van Bruinessen dalam tulisannya ‘Kitab
kuning dan Perempuan, Perempuan dan Kitab Kuning; “Pada umumnya tutur lisan
masyarakat Banjar menyatakan bahwa kitab “Perukunan Jamaluddin“ ini merupakan
karya Syaikhah Fatimah, Cucu Syaikh Arsyad al-Banjari dan anak saudara perempuan
Syaikh Jamaluddin sendiri ”
.
Mengapa Kitab Perukunan
yang popular itu diatasnamakan Jamaluddin jika pengarangnya Fatimah ? Menurut
Prof. Martin, identiti pengarang yang sebenarnya tampaknya dengan sengaja
disembunyikan sesuai dengan anggapan yang sudah mapan saat itu bahawa menulis
kitab adalah “pekerjaan” yang khusus untuk laki-laki. Lebih jauh, demikian
sambung guru besar studi Islam dari Belanda ini, kalau sejarah digali, tidak
mustahil kita akan menemui perempuan lain yang menguasai ilmu-ilmu agama dan
telah menulis kitab namun sumbangan mereka ternyata diingkari dan diboikot.

Kandungan
Kitab perukunan
Dari segi isi
kandungannya, kitab Perukunan ini tak jauh berbeza dengan kitab sejenis
lainnya. Kitabnya sangat sederhana dan hanya menghuraikan beberapa ajaran pokok
berhubungan dengan solat, puasa dan cara menguruskan jenazah. Namun yang
menarik tidak sebagaimana trend zamannya, 
 pengarang menghindari pembahasan
yang dirasakan diskriminasi terhadap perempuan (seperti aqiqah, warisan atau
kesaksian).

Hal menarik lainnya
adalah ketika ia membicarakan haid dan mandi sesudah haid, tidak ada kesan
seolah-olah perempuan yang sedang haid itu kotor. Syaikhah Fatimah tidak
memakai istilah seperti “bersuci” (yang secara tersirat menyatakan
perempuan dalam haid tidak “suci”). Secara lebih neutral Fatimah
menulis bahawa ada lima perkara yang mewajibkan mandi yakni meninggal (kecuali
mati syahid), haidh, nifas, wiladah (keguguran), dan janabah (persetubuhan).
Juga tidak didapati huraian panjang tentang hal-hal yang dilarang bagi
perempuan pada masa haid.

Perukunan
Jamaluddin atau sejatinya “Perukunan Fatimah” telah memberi berbagai pelajaran
berharga bagi kita. Melalui penanya, Syaikhah Fatimah telah merintis sebuah
tradisi baru pada zamannya, menegaskan penolakan diskriminasi terhadap
perempuan. Tema besar yang masih gigih diperjuangkan di abad 21 ini.


Sumber: 
Artikel ini telah dipetik dan diubahsuai dari artikel di pautan di
bawah. Bagi membaca
artikel asalnya, sila layari pautan berikut:
http://www.rahima.or.id/index.php?option=com_content&view=article&id=740:fikrah-edisi-34-syaikhah-fatimah-al-banjari-ada-tetapi-ditiadakan&catid=38:fikrah&Itemid=271


, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top