



Setelah kira-kira 8 tahun menuntut di Tarim, Habib Zain telah disuruh oleh guru beliau Habib Muhammad bin Saalim BinHafiz untuk pindah ke al-Baidha` untuk mengajar dan berdakwah di samping meneruskan pengajian dengan para ulama di sana antaranya kepada mufti al-Baidha`, Habib Muhammad bin ‘Abdullah al-Haddar. Kedatangannya ke al-Baidha` disambut dengan penuh kegembiraan oleh Habib Muhammad bin ‘Abdullah al-Haddar. Habib Zain telah ditugaskan oleh Habib Muhammad al-Haddar untuk mengajar dan membantu beliau dalam berdakwah. Kagum dengan beliau, akhirnya Habib Muhammad al-Haddar telah menikahkan beliau dengan puterinya. Habib Zain terus menetap di al-Baidha` dan meneruskan pengabdiannya terhadap ilmu dan dakwah di mana beliau menjadi tempat rujuk dan mufti. Ketinggian ilmunya diakui oleh para ulama sehingga Habib Muhammad al-Haddar menyatakan bahawa apabila sesuatu permasalahan itu telah dijawab oleh Habib Zain, maka tidaklah perlu untuk membuat rujukan lain.
Setelah kira-kira 21 tahun menetap di al-Baidha`, maka pada bulan Ramadhan 1406, Habib Zain telah berhijrah ke kota nenda beliau al-Mustafa s.a.w., Madinah al-Munawwarah, untuk menjadi pengasuh Rubath Habib ‘Abdur Rahman bin Hasan al-Jufri. Beliau berganding dengan Habib Saalim asy-Syaathiri untuk mengasuh Rubath al-Jufri tersebut. Setelah Habib Saalim pulang ke Tarim untuk mengasuh Rubath Tarim, maka tanggungjawab di Rubath al-Jufri dipikul sepenuhnya oleh Habib Zain sehingga kini. Selain melahirkan ramai murid yang menjadi ulama dan da`ie, beliau juga telah menghasilkan beberapa karya yang berbobot, antaranya “al-Manhaj as-Sawi syarhu Ushul Thoriiqah as-Saadah Ali Baa ‘Alawi” dan “al-Ajwibah al-Ghaliyyah fi ‘Aqidah al-Firqah an-Naajiyyah“. Kitabnya “al-Manhaj as-Sawi” sekitar 700 halaman menerangkan dengan terperinci mengenai 5 usul yang menjadi asas bagi jalan para saadah Bani ‘Alawi (Thoriqah Bani ‘Alawi) iaitu (1) ilmu; (2) amal; (3) wara`;(4) khauf dan (5) ikhlas. Selain kitab-kitab tersebut, sejumlah fatwa-fatwa beliau juga telah dikumpul dan dibukukan oleh sebahagian murid-murid beliau.
Moga-moga Allah memelihara dan melanjutkan usia Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith. Semoga kita dan sekalian umat dapat mengambil manfaat dengan keberadaan beliau atas muka bumi ini. Allahumma aamiin.

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.