al-Qaffal al-Marwazi

Fatawa al-Qaffal


Kitab “Fatawa
al-Qaffal
(
فتاوى القفال)”  adalah sebuah kitab yang menghimpunkan
fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Imam
Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah
al-Marwazi  al-Khurasani  (327-417H), yang terkenal dengan gelaran
al-Qaffal al-Shaghir  atau al-Qaffal
al-Marwazi.


Imam Al-Qaffal  adalah seorang
tokoh utama mazhab Syafi’i, yang mengetuai para fuqaha Syafi’iyyah di Khurasan
(Syaikh al-Khurrasani) pada abad ke 5 hijrah. Beliau terkenal dengan keluasan
ilmunya dalam bidang
fiqh  dan usul fiqh. Perkara ini, jelas terserlah
dalam beberapa fatwa beliau dalam kitab al-Fatawa ini. Jika disebutkan gelaran
al-Qaffal al-Marwazi” di dalam
kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, maka ia merujuk kepada al-Qaffal al-Shaghir
ini, bukannya kepada al-Qaffal al-Kabir, iaitu 
al-Imam Abu Bakr Muhammad bin ‘Ali bin Ismail al-Syasyi[1]
(291-365H), yang juga dikenali sebagai al-Qaffal al-Syasyi. Pendapat Imam al-Qaffal
al-Syasyi al-Kabir ini kerap disebutkan di dalam kitab-kitab usul fiqh.


Imam al-Qaffal
al-Marwazi merupakan seorang yang luas pengetahuannya mengenai fiqh mazhab
Syafi’i, termasuk pendapat qadim dan jadid dalam mazhab Syafi’i. Beliau juga terkenal
sebagai seorang ulama yang tidak taksub kepada mazhab yang dianutinya. Di
antara pendapat yang masyhur daripada beliau ialah mengenai keharusan seorang
penganuti mazhab Syafi’i  solat
bermakmumkan seorang imam yang bermazhab Hanafi dan sebaliknya,  sedangkan 
pendapat yang masyhur oleh sebahagian 
para fuqaha Syafi’i dan Hanafi bahawa perbuatan tersebut adalah tidak
sah.


Selain kitab al-Fatawa ini, antara karya Imam
al-Qaffal al-Marwazi yang lain ialah kitab Syarh
Talkhish Ibn al-Qash
[2]Syarh
al-Furu’ li Ibn al-Haddad
[3]
dan Syarh Kitab ‘Uyun al-Masail li Abi
Bakr al-Farisi
[4]


Kitab
“Fatawa al-Qaffal”


Kitab Fatawa al-Qaffal
ini tidak disusun sendiri oleh al-Imam al-Qaffal al-Marwazi, tetapi ia disusun
oleh seorang ulama lain selepas kewafatannya, yang berkemungkinan adalah salah seorang
dari anak-anak muridnya. Ia disusun berdasarkan beberapa fatwa yang masyhur yang
pernah dikeluarkan oleh Imam al-Qaffal
al-Marwazi. Kitab ini didahului dengan kata pengantar penyusun (penghimpun
fatwa) dan penyusunnya (penghimpun) kerap menyebut perkataan “
aku berkata
kepadanya
”, “maka berkata al-Syaikh”, “kami
berkata kepadanya
”. Ia membuktikan kitab ini disusun selepas kewafatan Imam
al-Qaffal al-Marwazi oleh salah seorang muridnya. Sebenarnya, kitab ini tidak
menghimpun kesemua fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Qaffal al-Marwazi.
Berdasarkan kitab Fatawa al-Qaffal yang diterbitkan dengan cetakan pertamanya
(2011) oleh Dar Ibn Qayyim (Arab Saudi) dan Dar Ibn ‘Affan (Mesir)
hanya terdapat 349
permasalahan fiqh yang disebutkan dalam kitab tersebut. Banyak lagi fatwa-fatwa
lain yang dinisbahkan kepada Imam al-Qaffal al-Marwazi yang disebutkan dan
dinukilkan oleh para ulama dalam beberapa kitab yang muktamad di sisi mazhab
Syafi’i yang tidak terdapat dalam kitab fatwa ini.


Bagi edisi cetakan yang disebutkan di atas, pentahkik
(editor) kitab “Fatawa al-Qaffal” iaitu Mustafa Mahmud al-Azhari, telah berusaha
mengumpul beberapa fatwa-fatwa al-Qaffal al-Marwazi yang terdapat berselerakkan
dalam beberapa kitab fiqh dan qawa’id fiqh yang disusun oleh para ulama mazhab
Syafi’i, dan melampirkannya di akhir kitab ini, khususnya mengenai bab-bab
tertentu  yang tidak terdapat dalm kitab
fatwa ini.


Fatwa-fatwa dalam kitab ini disusun mengikut bab-bab
fiqh, mengikut turutan kitab-kitab berikut, iaitu  kitab thaharah,
 kitab solat, kitab jenazah, kitab zakat, kitab
puasa, kitab haji, kitab korban, pemburuan, sembelihan dan makanan (ath’imah),
kitab nazar, kitab jual beli, dan kitab al-Salam dan al-qard.


Kitab-kitab yang mengandungi fatwa-fatwa Imam al-Qaffal
al-Marwazi


Berikut disenaraikan
beberapa buah kitab fiqh yang ada menyebutkan fatwa-fatwa  al-Qaffal al-Marwazi;


      1.     Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz karya Imam al-Rafi’i(623H),  

      2.     Rawdh al-Thalibin dan Majmu’ karya ImamAbu Zakariyya
Yahya bin Syaraf  al-Nawawi (676H),

      3.      Kifayah al-Akhyar fi Hall Ghayah al-Ikhtishar karya Taqiyuddin
al-Hushni (829H),

     4.      Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib, karya Syaikhul Islam Abu
Yahya Zakariyya al-Anshari (926H),

     5.    Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj dan al-Fatwa al-Kubra karya Ibn Hajar
al-Haytami (974H),

      6.       Mughni
al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj
Karya Khathib al-Syarbini (977H),

      7.      Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya Syamsuddin
al-Ramli (1004H),

      8.     Hasyiah I’anah al-Thalibin karya abu Bakr al-Dimyathi  dll.


Fatwa-fatwa dari
al-Qaffal juga terdapat dalam beberapa kitab qawa’id fiqhiyyah, antaranya;


    1.   al-Asybah wa al-Nazhair karya Shadruddin Muhammad bin ‘Umar ,
yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Wakil (716H),

     2.     al-Majmu’ al-Muzahhab fi Qawa’id al-Mazhab karya al-Hafizh Khalil
bin Kaikaldi al-‘Ala-i (761H),

     3.    al-Asybah wa al-Nazhair karya Tajuddin  ‘Abdul Wahhab bin ‘Aliy bin Abdul Kafi
al-Subki (771H),

   4.   al-Matsur fi al-Qawa’i dan Khabaya
al-Zawaya
karya Badaruddin Muhammad bin Bahadur al-Zarkasyi 794H),

     5.      al-Qawa’id karya Sirajuddin ‘Umar bin ‘Ali Ibn al-Mulaqqan
( 804H),

    6.  al-Asybah wa al-Nazhair karya ‘al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman
bin Abu Bakr al-Sayuthi (911H), dll.


Semuanya fatwa-fatwa  al-Qaffal yang terdapat dalam kitab-kitab di
atas, adalah bersumber kepada  kitab al-Syarh al-Kabir karya al-Rafi’i dan al-Rawdhah  karya al-Nawawi.  Sedangkan mereka berdua (al-Rafi’i dan
al-Nawawi) merujuk  fatwa-fatwa tersebut
kepada karya-karya  Imam al-Haramayn al-Juwayni[5].
Di mana Imam al-Haramayn pula mengambil fatwa-fatwa tersebut dari pada murid-murid
al-Qaffal al-Marwazi seperti bapanya  Syaikh Abu Muhammad al-Juwaini[6],
al-Qadhi Husain[7],
al-Shaydalani, al-Fawrani[8]
dan  Abu ‘Ali al-Sinji[9].
Di samping itu, al-Nawawi dan al-Rafi’i juga ada  merujuk kepada karya-karya Imam Abu Hamid
al-Ghazali[10]
dan kitab Syarh al-Talkhis karya
al-Qaffal  al-Marwazi.


Kandungan kitab Fatawa
al-Qaffal  yang merangkumi  304 halaman ini boleh dimuat turun melalui
pautan 
http://waqfeya.com/book.php?bid=9430Semoga bermanfaat.

Sumber: 
Kitab Fatawa al-Qaffal, cetakan 1 (2011), Dar Ibn Qayyim / Dar Ibn
‘Affan.


[1] Di antara karya beliau ialah Tafsir Kabir lil-Qur`an al-Karim, Syarh
Kitab ar-Risalah lil-Imam al-Syafi’i, Dala`il al-Nubuwwah, Mahasin al-Syari’ah
dan Adab al-Qadha’.

[2] Iaitu huraian bagi kitab al-Talkhish karya al-Imam Abu al-‘Abbas,
Ahmad bin Abu Ahmad al-Thair al-Thabari (335H/946M), yang terkenal dengan
gelaran Ibn al-Qash. Di antara karya beliau yang lain ialah; Adab al-Qadhi / Adab al-Qadha, al-Mawaqit,
al-Miftah, Dala-il al-Qiblah
dan Nushrah
al-Qawlain li al-Imam al-Syafi’i
.

[3] Iaitu huraian bagi kitab al-Furu’ al-Mawlidat (Furu’ Ibn al-Haddad)
karya al-Qadhi Ibn al-Haddad al-Kinani, 
Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin Muhammad (344/345H). Antara karya beliau
yang lain ialah; Jami’ al-Fiqh, Al-Bahir
fi al-Fiqh
dan Adab al-Qudha’.

[4] Iaitu huraian bagi kitab ‘Uyun al-Masa-il karya al-Imam Abu Bakr
Ahmad bin al-Hasan bin Sahl al-Farisi (350H/961M). Antara karya lain beliau
ialah Kitab al-Intiqad ‘ala al-Muzani.

[5] Beliau ialah Abu al-Ma-‘ali Abdul Malik
bin Abdullah al-Juwaini (419-478H), yang terkenal dengan gelaran Imam Haramayn.
Beliau adalah guru kepada Imam al-Ghazali. Di antara karya beliau ialah; Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab dan
Ghunyah al-Mustarsyidin fi al-Khilaf

[6] Beliau ialah Rukn al-Islam Abu Muhammad
Abdullah bin Yusuf bin Abdullah al-Juwaini (438H). Di antara karya beliau ialah
al-Tabshirah fi al-Waswasah, Mukhtashar al-Mukhtashar (Mukhtashar Syaikh
Abi Muhammad
)/ al-Mu’tashar  – ringkasan Mukhtashar al-Muzani, Mukhtashar fi Mawqif al-Imam wa al-Makmum
dan  al-Jam’  wa al-Farq.

[7] Beliau ialah al-Qadhi  Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin
Ahmad al-Marwarruzi (462H). Di antara karya beliau ialah; al-Ta’liqah (Syarh Mukhtashar al-Muzani), al-Fatawa, Syarh al-Furu’ Ibn
al-Haddad
dan Asrar al-Fiqh.

[8] Beliau ialah al-Fawrani, Abdurrahman bin
Muhamad Ahmad bin Fawran (461H). Di antara karya beliau ialah kitab al-Ibanah dan al-‘Umdah

[9] Beliau ialah Abu Ali Husain bin Syu’aib
bin Muhammad al-Sinji (406H). Di antara karya beliau ialah kitab Syarh Mukhtashar al-Muzani, Syarh al-Talkhish  dan Syarh
al-Fu
ru’.

[10] Beliau ialah Hujjatul Islam  Abu Hamid, Muhammad bin Muhammad bin Ahmad
al-Ghazzali (450-505H). Di antara karya beliau ialah kitab  al-Basith,  al-Wasith 
Fi  al-Mazhab, al-Wajiz Fi Fiqh
al-Imam al-Syafi’I,  al-Khulashah 
dan al-Ihya
‘Ulum al-Din.


, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top