
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam “al-Mu’jam ash-Shaghir” dan “al-Mu’jam al-Awsath” bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam berpesan kepada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu dengan sabdanya: “Wahai Abu Hurairah, apabila engkau berwudhu maka ucapkanlah bismillahi wal hamdulillah, maka sesungguhnya malaikat hafazahmu tidak henti – henti menulis bagimu pahala kebajikan sehinggalah engkau berhadas daripada wudhu tersebut (yakni sehingga wudhu tersebut batal).” Para ulama hadits berbeza pendapat tentang darjat hadis ini, ada yang menghukumkannya dhaif dan ada yang menghukumkannya sebagai hasan.
Imam Nuruddin ‘Ali al-Haitsami rahimahullah dalam karyanya yang masyhur “Majma` az-Zawaaid wa Manba` al-Fawaaid“, juz 1, halaman 220, dalam “bab at-Tasmiyyah `indal wudhu`” menukilkan hadis tersebut sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu yang berkata bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Wahai Abu Hurairah, apabila engkau berwudhu maka sebutlah bismillah wal hamdulillah, nescaya malaikat penjagamu tidak putus-putus menulis pahala kebajikan bagimu sehinggalah engkau berhadas daripada wudhu tersebut.” Diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani dalam “ash-Shaghir” dan sanad-sanad hasan.
Imam Ibnu `Iraq al-Kinani rahimahullah dalam “Tanzih asy-Syari`ah al-Marfu`ah“, juz 2, halaman 70 juga telah memberikan komentar terhadap hadis tersebut dan zahirnya beliau tidak bersetuju dengan penilaian munkar oleh Imam adz-Dzahabi rahimahullah. Beliau juga dinukilkan dalam kitabnya tersebut satu riwayat daripada asy-Syirazi dalam “al-Alqaab” daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu bahawa : “Sesiapa yang membaca basmallah dalam wudhunya, dua malaikat pencatat amalannya tidak putus-putus mencatat pahala kebajikan baginya sehinggalah dia berhadas daripada wudhunya itu.”

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.