al-Bahr

Bahr al-Mazhab fi Furu’ Mazhab al-Syafi’i

Kitab Bahr al-Mazhab fi Furu’ Mazhab al-Syafi’i (بحر المذهب في فروع مذهب الإمام الشافعي)
adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-Qadhi Abu al-Muhasin Abdul Wahid bin Ismail
bin Ahmad al-Thabari al-Ruyani (415-502H). Beliau terkenal sebagai al-Qadhi
al-Ruyani. Jika ditemukan istilah Qadhiyani
(قاضيان :  yang
bermaksud dua orang Qadhi) dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i (terutama yang
melalui jalur Imam al-Nawawi), maka salah satu dari qadhi tersebut adalah  Qadhi al-Ruyani rahimahullah, manakala yang
kedua adalah al-Qadhi Abu Hasan al-Mawardi (450H), pengarang
al-Hawi al-Kabir.
Kitab Bahr al-Mazhab ini disusun oleh al-Ruyani sebagai kitab huraian
(syarah) bagi kitab 
Mukhtashar al-Muzani[1].
Dalam menyusun kitab ini, beliau telah menghuraikan kandungan kitab
Mukhtashar Muzani berpandukan ilmu yang
beliau perolehi daripada para guru beliau dari kalangan tokoh ulama mazhab
Syafi’i pada zamannya. Di samping merujuk kepada kitab-kitab fiqh mazhab yang
muktabar, beliau juga telah memenuhi karya beliau ini dengan pelbagai permasalahan
fiqh hasil ijtihad beliau.

Imam Abu Amru Ibn al-Shalah (643H)
ketika mengulas kandungan kitab al-Bahr
berkata “Beliau (yakni al-Ruyani) banyak sekali menulis nukilan-nukilan dalam
kitabnya”. Imam Ibn Katsir berkata “Kitab al-Bahr itu merupakan kitab yang
lengkap dan memuat banyak gharaib-gharaib (masalah-masalah yang unik) dan
lain-lain”.


Kitab yang terkenal dengan
judul ringkas al-Bahr ini, merupakan
antara kitab mazhab Syafi’i yang dianggap sebagai kitab al-muthawwalat (yang panjang dan banyak halamannya) yang masih
sampai ke zaman kini dan telah dicetak dan diterbitkan untuk rujukan umat
Islam.


Sekadar rujukan yang ditemui,
kitab ini telah diringkaskan oleh seorang ulama terkemudian, iaitu al-‘Allamah Kamaluddin
Abu al-Fadha-il Salar bin al-Hasan bin ‘Umar al-Irbili (670H) melalui karyanya  Mukhtashar
al-Bahr
.


Berdasarkan naskah kitab yang
diterbitkan Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi,
Beyrut – Lubnan, kitab Bahr al-Mazhab
ini telah dicetak dalam 14 jilid. Pembaca yang berminat boleh men-download kitabnya dalam bentuk PDF
melalui pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=1182.
Semoga bermanfaat.

[1] Iaitu karya al-Imam Ismail bin Yahya
al-Muzani (246H). beliau merupakan salah seorang murid terkenal al-Imam
al-Syafi’i.


, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top