Kadang-kadang, tak semena-mena, telinga kita berdenging sekejap. Maka ketika itu, kita disunnatkan untuk melakukan 3 perkara, iaitu (i) menyebut dan ingatkan Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam seperti katanya
Muhammad Rasulullah; (ii) bershalawat ke atas baginda seperti dikatakannya
Allahumma shalli wa sallim ‘ala Muhammad; dan (iii) membaca satu doa yang
ma’tsur berbunyi :- “
dzakaraAllahu man dzakarani bi khair” (atau dalam satu riwayat
“dzakaraAllahu bi khairin man dzakarani” dan dalam satu lagi riwayat
“Allahummadz-kur bi khairin man dzakarana bi khair”) yang bererti
“Semoga Allah mengingati dengan kebajikan akan orang yang menyebut atau ingatkan aku”. Sebagaimana dianjurkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Rafi`, maula Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ulama berikhtilaf pada darjat hadis ini, sebahagiannya menghukumnya
hadis munkar (
dhaif jiddan), sebahagian lain menghukumnya sebagai
hadis hasan, manakala sebahagian lagi menghukumkannya sebagai
hadis dhaif dan diamalkan dalam
bab fadha`il. Walau apa pun ikhtilaf yang berlaku di kalangan para ulama tadi, cukuplah bagi kita bahawa amalan ini telah dianjurkan oleh para ulama kita seperti Imam Ibnus Sunny, Imam al-Ghazali, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar, Imam ar-Ruyani, Imam as-Sayuthi, Imam as-Sakhawi, Imam al-Jazari dan ramai lagi
rahimahumullahu ta`ala jami`an, bahkan Imam an-Nawawi
rahimahullah turut menukilkan riwayat ini dalam kitab beliau yang masyhur “
al-Adzkar“.
Syaikh Ali bin Ahmad bin Nuruddin al-‘Azizi rahimahullah dalam syarahnya atas Jami`ush Shaghir yang berjodol “as-Siraajul Muniir” pada halaman 148 ketika membicarakan tentang hadis tersebut telah menukil daripada Imam al-Munawi rahimahullah yang menyatakan bahawa berdengingnya telinga adalah isyarat bahawa sampai berita baik kepada roh, iaitu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menyebut orang yang telinganya berdenging tadi dengan kebaikan di sisi para malaikat yang tinggi darjatnya (al-mala-ul a’laa) di alam arwah. Namun, hanya Allah subhanahu wa ta`ala sahaja yang mengetahui hakikat sebenarnya. Yang penting, adalah bershalawat dan berdoa ketika telinga berdenging sebagaimana anjuran tersebut, jangan buat bodo je.