
Sebagaimana yang telah diketahui, makruh tanzih bagi sesiapa yang berhajat melakukan ibadah korban untuk membuang atau memotong atau mencabut atau mencukur atau menanggalkan kuku atau rambut atau segala bulu dan juzuk yang berada di badannya selain darah mulai tanggal 1 DzulHijjah sehingga haiwan korbannya disembelih. Maka sunnat baginya untuk meninggalkan perbuatan menghilangkan segala yang tersebut mulai 1 DzulHijjah sehinggalah haiwan korbannya disembelih. Hukumnya sebagai sunnah dan makruh tanzih tersebut adalah menurut pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie, manakala menurut sebahagian pendapat lagi, tegahan memotong tersebut dihukumkan sebagai haram sama seperti kedudukan hukum dalam Mazhab Hanbali.
[Dan perkataannya (yakni perkataan muallif “Fathul Mu`in“, Syaikh Zainuddin al-Malibari): dan makruh bagi yang menghendakinya] iaitu yang hendak berkorban ……. dan qawl yang menghukumkannya sebagai makruh adalah yang muktamad, manakala qilnya menghukumkan sebagai haram sebagaimana yang dipegang dalam Mazhab Imam Ahmad dan selainnya. Kemakruhan ini berlaku selagimana tiada keperluan untuk memotong atau menghilangkan benda-benda tersebut, seperti ada keperluan yang bersifat wajib, seperti melaksanakan hukuman potong tangan bagi pencuri yang telah sabit hukuman had ke atasnya atau mengkhatankan seorang lelaki dewasa atau keperluan bersifat sunnat seperti mengkhatankan budak kecil atau untuk menjaga kebersihan bagi sesiapa yang hendak berihram atau menghadiri Shalat Jumaat, atas pendapat yang dipilih oleh Imam az-Zarkasyi rahimahullah. Namun fatwa ini tidak dipersetujui oleh ramai ulama lain yang menyatakan bahawa orang yang sedang berpuasa ketika hendak berihram atau menghadiri Shalat Jumaat tidak disunnatkan untuk berwangi-wangian kerana menjaga kesempurnaan ganjaran puasanya, maka sedemikianlah pulalah bagi orang yang hendak berkorban adalah lebih utama baginya menjaga kesempurnaan maghfirah yang bakal diperolehinya supaya meratai atas setiap anggota dan juzuk badannya (yakni dengan tidak memotongkannya sehingga selesai berkorban)…..
Begitulah kedudukannya dalam mazhab, wujud ikhtilaf mengenai masalah ini. Maka ianya berdasarkan kepada sejauhmana perlunya perbuatan memotong atau menghilangkan sesuatu itu. Jika keperluan untuk perbuatan tersebut melebihi keperluan meninggalkannya, maka tidaklah makruh untuk menghilangkannya. Inilah rumus yang boleh kita jadikan panduan. Namun tanpa ada apa-apa keperluan, seelok-eloknya ditinggalkan dahulu perbuatan tersebut sehingga selesai ibadah korban, apatah lagi dalam situasi di mana wujud qawl yang menghukumkan haram menghilangkannya. Oleh itu meraiekan qawl tersebut dan mengeluarkan diri dari perkara yang diikhtilafkan ulama adalah satu perbuatan yang terpuji.

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.