al-Khadim

KHADIM AL-RAWDHAH WA AL-RAFI’I

Kitab al-Khadim li al-Rawdhah atau judul
lengkapnya 
Khadim al-Rafi’i wa al-Rawdhah fi al-Furu’  ( خادم الرافعي والروضة في الفروع) adalah sebuah kitab susunan al-Imam Syaikh
al-Islam Badruddin Abu  Abdullah Muhammad bin Abdullah bin
Bahadur al-Zarkasyi[1] (745-794H/1344-1392M). Kitab
ini merupakan sebuah ensiklopedia fiqh yang disusun kembali oleh al-Zarkasyi
berdasarkan himpunan kandungan empat buah kitab ‘Hawasyi’ (komentar)
bagi kitab Rawdhah al-Thalibin[2] karya
al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Empat buah hawasyi tersebut disusun  oleh 
empat[3] orang tokoh terkenal dalam mazhab
al-Syafi’i, iaitu;

1)  Jamaluddin
Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Asnawi al-Mishri[4] (704-772H), dengan karya beliau yang berjudul al-Muhimmat fi
Syarh al-Rafi’i wa al-Rawdhah
[5]

2)  Syihabuddin
Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamdan al-Azra’i[6]  (708-783H), dengan karya beliau al-Tawassuth Baina al-Rawdhah wa
al-Syarh 
dalam 20 jilid.

3)  Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar
bin Ruslan bin Nashir bin Shalih bin Abdul Khaliq bin Abdul Haq al-Bulqini (724-805H).

4) Syihabuddin Ahmad bin ‘Imad bin
Muhammad bin Yusuf al-Aqfahsi, yang terkenal 
dengan
gelaran Ibn al-‘Imad al-Syafi’i[7] (750-808H).

Nisbah kitab ini kepada al-Zarkasyi ada
disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab al-Durar
al-Kaminah
, al-Sayuthi dalam kitab Husn al-Muhadharah, dan Ibn
al-‘Imad al-Hanbali dalam kitab al-Syazarat.

Haji Khalifah ada menyebutkan dalam
kitab Kasyf al-Zunun; “ Disebutkan dalam kitab Bughyah
al-Mustafid bahawa kitab al-Khadim ini di ditulis dalam empat belas
jilid, setiap jilid mengandungi 25 lembaran. Kemudian saya pernah melihat jilid
pertamanya, yang dimulai dengan; 
الحمد لله الذى امدنا بنعمائه…. Dan disebutkan bahawa dalam kitab ini dihuraikan perkataan yang susah
difahami dalam kitab al-Rawdhah (karya al-Nawawi) dan kitab al-Fath al-‘Aziz
(karya al-Rafi’i)…….
”.

al-Hafiz  Ibn Hajar al-‘Asqalani
ada menyatakan;  “Kitab al-Khadim disusun berdasarkan kitab al-Muhimmat (karya
al-Asnawi) dan kitab al-Tawassuth karya al-Azra’i, tetapi ia
juga ditambah dengan beberapa faedah dari kitab al-Mathlab dan
selainnya
”.

Kitab al-Khadim ini telah diringkaskan
oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi dengan kitab beliau yang
berjudul “ Tahsin al-Khadim ”. Menurut Haji Khalifah, kitab
al-Suyuthi menyusun kitab Tahsin al-Khadim ini bermula bab
zakat hingga akhir bab Haji, namun ia tidak sempat menyelesaikannya.

Sekadar maklumat yang saya perolehi,
kitab ini belum lagi diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan di Timur
Tengah. Ia masih lagi dalam bentuk manuskrip tulisan tangan oleh beberapa
penyalin kitab terdahulu. Manuskrip kitab al-Khadim ini ada tersimpan di
beberapa buah perpustakaan di dunia Islam dan di barat. Namun, kebanyakan
manuskrip itu tidak lengkap kandungannya.

Catatan ringkas mengenai kitab
al-Khadim karya al-Zarkasyi ini saya susun berdasarkan beberapa maklumat yang
saya perolehi dari laman maya, antaranya dari laman al-Multaqa al-Fiqhi di 
http://www.feqhweb.com/vb/t15099.html.
Jika ada kesilapan maklumat sila maklumkan. Semoga bermanfaat.



[1] Iaitu
pengarang kitab al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, sebuah kitab yang
membicarakan ilmu-ilmu al-Quran yang terkenal sebagai rujukan para ulama. Lihat
ringkasan  riwayat hidup beliau di pautan http://ibnuzayyin.blogspot.com/2009/11/biografi-imam-badr-al-din-al-zarkasyi.html

[2] Kitab
Rawdhah al-Thalibin adalah ringkasan bagi kitab al-Syarh al-Kabir (Fath
al-‘Aziz)
 karya Imam Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad
al-Rafi’i (557-623H). lihat maklumat ringkas kitab Rawdhah al-Thalibin di
pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/04/rawdhah-al-thalibin.html.

[3] Tiga
orang daripada mereka merupakan guru kepada al-Zarkasyi, iaitu Jamaluddin
al-Asnawi, Sirajuddin al-Bulqini dan Syihabuddin al-‘Azra’i.

[4] Lihat
riwayat hidup beliau di pautan http://dailyculturalinfo.blogspot.com/2013/03/Biography-Alasnoy.html.

[5] Kitab
ini telah diberikan huraian ringkas oleh beberapa ulama, antaranya murid
al-Asnawi sendiri iaitu Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi dan Zainuddin al-‘Iraqi. Imam
al-Azra’i juga ada menyusun kitab yang mengandungi beberapa kritikan ilmiah terhadap
kitab ini melalui kitabnya al-Tanbihat ‘ala Awham al-Muhimmat .

[6] Lihat
riwayat hidup beliau di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t11512.html

[7] Beliau
merupakan murid kepada Imam Sirajuddin al-Bulqini dan Jamaluddin al-Asnawi.
Beliau ada menyusun kitab al-Ta’liq  ‘ala al-Muhimmat  ,
iaitu sebuah kitab yang mengandungi huraian bagi kitab al-Muhimmat karya
al-Asnawi.



, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top