
Tatkala penulis
melihat-lihat judul buku-buku yang dijual di Badan Cemerlang yang terletak di
Plaza Angsana, penulis terpandang tiga jilid buku yang relatifnya lebih nipis
berbanding buku-buku yang lain sekitarnya. Tambah menarik, buku-buku tersebut
bersaiz lebih kurang A4, satu saiz yang amat jarang bagi buku-buku terkini
dengan kulit nipis. Penulis menatap sungguh-sungguh kulit buku tersebut sambil
terasa sangat teruja dengan apa yang sedang penulis pegang. Dua daripadanya
bertulisan rumi sementara satu lagi bertulisan jawi. Memang tidak salah lagi,
ketiga-tiganya ialah susunan penulis yang sama iaitu Al-Ustaz Abdul Ghani
Yahya. Ketiga-tiga naskhah tersebut ialah siri Ilmu Fiqh yang dinamai “ Idaman
Penuntut pada Menghuraikan yang Kusut ”.
Penulis harus akui tidak
banyak yang penulis tahu tentang penyusun atau pengarang kitab terbabit selain
daripada apa yang tercatat di Pendahuluan. Setidak-tidaknya, apa yang penulis
difahamkan ialah beliau ialah seorang guru agama dan terlibat dalam penyusunan
silibus pembelajaran sekolah agama dalam sistem persekolahan agama Kerajaan
Johor suatu ketika dahulu. Atas permintaan anak-anak muridnya, beliau menyusun
kitab Idaman Penuntut ini sebagai rujukan pelajaran ilmu fiqah kepada
pelajar-pelajar terutamanya yang berada antara Darjah 4 hingga Darjah Khas
sekolah agama Kerajaan Johor. Hasrat yang disampaikan bermula selepas beliau
berpencen pada 1967 dan hanya mula direalisasikan pada akhir 1982.
Jilid[1]
pertama bagi siri kitab ini diterbitkan pada April 1983 dengan penekanan
terhadap topik-topik ibadah dengan topik pertama ialah tentang bersuci dan
topik terakhir berkenaan makanan. Bolehlah dikatakan jilid pertama meliputi
kesemua pelajaran berkenaan ibadah fardhu ain meliputi sembahyang, puasa,
jenazah, zakat, dan haji dan umrah. Jilid kedua pula
menyusul dengan topik-topik yang berkaitan dengan dua bidang fiqah iaitu
muamalat dan munakahat sementara jilid ketiga menyentuh topik-topik berkenaan
faraidh dan jenayah Islam. Oleh hal yang demikan, ketiga-tiga jilid bagi siri
ini menyentuh segenap perbincangan tentang fiqah Islami.
Edisi awal ketiga-tiga
jilid ialah dalam tulisan jawi. Pada masa kini, sekurang-kurangnya dua jilid
terawal dialihtulisankan kepada tulisan rumi[2]. Penyusun/pengarang kitab
tersebut ada menyatakan bahawa rujukan utamanya[3]
dalam penyusunan kitab itu ialah Matla’al Badrain[4],
Al-Baijuri[5]
dan Bujairimi ‘ala al-Iqna[6]‘
yang masing-masing merupakan naskhah-naskhah lama yang cukup diraikan dalam
pengajian agama sama ada formal mahupun tidak formal. Kitab-kitab rujukan itu[7],
sungguhpun cukup berjasa dalam pengajian Islam dalam masyarakat Melayu/Islam di
Malaysia dan Kepulauan Melayu, jelas mempunyai laras bahasa yang agak
keterbelakang berbanding Bahasa Melayu terkini selain susunan berbentuk satu
perenggan berterusan yang hanya dipisahkan dengan penanda wacana. Oleh sebab itu,
penyusunan Idaman Penuntut memudahkan orang ramai, terutamanya pelajar
sekolah agama Kerajaan Johor untuk menelaah pelajaran fiqah yang menjadi
subjek-subjek teras bermula Darjah empat hingga Darjah Khas.
Sekadar berkongsi
pengalaman sendiri, pembelajaran fiqah di sekolah agama Kerajaan Johor meliputi
lima mata pelajaran iaitu Ibadat, Muamalat, Munakahat, Faraidh dan Jenayat.
Sebelum zaman penulis, kitab seperti Matla’al Badrain masih lagi menjadi
pilihan rujukan bagi tenaga pengajar sekolah agama walaupun kitab/risalah khas
untuk setiap subjek sudah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Johor. Jadi, Idaman
Penuntut memudahkan pelajar (tidak kurang guru juga) membuat rujukan fiqah
lantaran susunannya lebih sistematik, dihadirkan dalam bentuk tajuk besar,
tajuk kecil dan poin-poin yang memudahkan rujukan pembaca. Kewujudan edisi rumi
tambah memudahkan lagi pembacaan penelaah yang tidak begitu fasih membaca jawi.
Secara umumnya pula, Idaman
Penuntut ialah sejenis kitab fiqah Mazhab Syafie sesuai dengan suasana dan
keadaan masyarakat Islam Malaysia. Dari hal itu, pembaca yang berpegang pada
mazhab itu tidak banyak menemui pandangan yang bertentangan dengan pegangan
masyhur Mazhab Syafie di Kepulauan Melayu (seperti mughalazahnya seluruh babi,
anjing dan kacukan mereka berdua, sunatnya qunut Subuh dan talkin mayat). Pun
begitu, pandangan penyusun seperti tidak wajar menambahkan perkataan Saidina
semasa berselawat kepada Nabi selepas tahiyat akhir (jilid 1, nota kaki 1.,
m.s. 27) dan membidaahkan orang datang berkumpul untuk jamuan makan di rumah si
mati (jilid 1, m.s. 63) memperlihatkan sedikit sisi perbezaan pendapatnya
berbanding dengan amalan dan kepercayaan tradisional yang didakwa sebagai
pandangan Mazhab Syafie yang masyhur. Dan daripada segi
pendalilan, jelas sekali pengarangnya sangat bergantung kepada tiga sumber
rujukan utama sambil kadang-kala membandingkan kewujudan perbezaan pendapat
antara ketiga-tiga kitab itu. Misalnya dalam persoalan ungkapan Saidina
dalam selawat tadi, beliau mengutarakan pendapat bagi kedua-dua kitab
rujukannya iaitu Al-Baijuri dan Bujairimi ‘ala al-Iqna‘, lalu
mengunggulkan isyarat daripada Bujairimi ‘ala al-Iqna’ untuk tidak
menambah kalimah tersebut semasa selawat dalam sembahyang. Akan tetapi, beliau
berdiplomasi dengan menjelaskan kesetujuannya agar perkataan Saidina
ditambah dalam selawat di luar sembahyang. Dalam banyak keadaan, pengarang
memberikan pendalilan terhadap sebarang rukun, jenis dan syarat namun bukan
kesemua perkara diberikan dalilnya.
Matlamat penulisan kitab ini pun lebih
kepada memenuhi tuntutan pelajaran sekolah agama, jadi pengisiannya jelas cukup
sesuai untuk peringkat asas pengenalan fiqah. Secara keseluruhannya,
harapan penyusunan kitab bagi memudahkan pelajar untuk menelaah ilmu asas fiqah
bolehlah dikatakan tercapai dengan pembaikan kepada gaya bahasa yang lebih
mudah difahami. Tambahan pula bilangan muka suratnya yang tidak tebal cukup
ideal memudahkan pembelajaran isi-isi penting berkaitan ibadat, muamalat,
jenayat, faraidh dan munakahat. Sungguh pun diterbitkan pada 1984, ciri-ciri
seperti menonjolkan pandangan daripada kitab-kitab fiqah melayu[8]
klasik/semiklasik cukup membuatkan Idaman Penuntut seperti ringkasan
atau penerangan ringkas ilmu yang terkandung dalam kitab Melayu
klasik/semiklasik.
Bagaimanapun, untuk mengangkatnya sebagai kitab fiqah yang
benar-benar lengkap dengan pendalilan dan ulasan panjang lebar mengenai fiqah
Mazhab Syafie mungkin menuntut syarah/ulasan dibuat terhadap teks asalnya. Atau
kitab ini perlu dijadikan teks pengkuliahan di majlis-majlis ilmu seperti di
masjid-masjid agar penerangan yang lebih konprehensif dapat diberikan oleh
tok-tok guru yang mengkuliahkannya. Apa pun, perkara ini
tidak sama sekali menafikan keistimewaan Idaman Penuntut sebagai
kitab-kitab rujukan untuk ilmu fiqah permulaan yang sewajarnya diketahui oleh
setiap umat Islam. Sekurang-kurangnya, kitab ini menjadi antara rujukan
tambahan yang penting bagi kurikulum sekolah agama Kerajaan Johor sehinggalah
pada tahun 1994 yang menyaksikan permulaan era baru rujukan rasmi sistem
persekolahan tersebut.
Sumber: Artikel di atas dinukil dari laman
http://lappanblablabla.blogspot.com/2013/09/idaman-penuntut.html, dengan sedikit pengubahsuaian dan tambahan[9] tanpa perubahan isi kandungannya. Semoga bermanfaat.
ini disebut “Penggal” iaitu Penggal yang pertama, kedua dan ketiga.
catatan ini dibuat telah lengkap dialihtulisankan kepada
tulisan rumi oleh Nurul Sakinah binti Ibrahim dan diterbitkan Syarikat Bajrai,
Kuala Lumpur.
ini, terdapat dua kitab lagi yang disebutkan oleh pengarang yang menjadi
rujukan karya beliau ini, iaitu kitab Fath al-Mu’in karya Syaikh
Zainuddin al-Malibari dan kitab yang menjadi huraiannya iaitu kitab I’anah al-Thalibin karya
‘Allamah Syata al-Bakri,
karya Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (1260-1333 H /1844-1915M).
‘ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi. Sebuah karya Syaikh Ibrahim al-Baijuri (1216H)
yang menghuraikan kitab Syarh Ibn Qasim ‘ala matan al-Taqrib,
karya al-‘Allamah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H).
‘ala al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’. Juga dikenali al-Bujairimi
‘ala al-Khathib. Kitab ini disusun oleh Syaikh Sulaiman bin
Muhammad al-Bujairimi (1131-1221H)
sebagai huraian bagi kitab al-Iqna’ karya Syaikh Muhammad bin
Muhammad Syarbini al-Khathib (977H).
al-Badrain sahaja kitab yang ditulis dalam Bahasa Melayu yang menjadi
rujukan pengarang, sedangkan kitab-kitab rujukan yang lain adalah dalam bahasa
Arab.
[9] Empunya laman “ karya ulama ” ini telah membuat sedikit tambahan berupa nota kaki bagi melengkapkan artikel ini.

, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.