al-Risalah

al-Risalah karya Usul Fiqh terulung Imam al-Syafi’i

Imam Muhammad bin
Idris bin ‘Utsman al-Syafi’i (150- 204H) atau lebih dikenali sebagai Imam
al-Syafi’i merupakan seorang tokoh dan seorang imam yang sangat  masyhur namanya dalam dunia Islam. Beliau juga
merupakan tokoh yang hebat, yang dikagumi keilmuannya oleh para ilmuan
sepanjang zaman dan besar jasanya.

Beliau merupakan
individu yang pertama memiliki gagasan dan idea cemerlang berkenaan kaedah
penggalian hukum-hukum Islam, yang disusun dengan begitu sistematik ke dalam
sebuah karyanya yang diberi judul “al-Risalah”. Sebuah kitab
dalam bidang usul fiqh, yang dianggap sebagai kitab yang pertama disusun dalam
bidangnya.
Usaha pembukuan
ini bertepatan dengan kepesatan perkembangan ilmu-ilmu pengetahuan dalam dunia
Islam. Ianya berlangsung di sekitar era khalifah Harun al-Rasyid (145H-193H),
dan kemuncaknya adalah pada masa Khalifah al-Ma’mun (170-218H).

Dengan lahirnya
kitab ini, fasa awal perkembangan ilmu ushul fiqh pun bermula. Kitab ini
menjadi rujukan utama bagi ahli ushul pada masa-masa seterusnya. Kitab al-Risalah
ini juga merangkumi gambaran metodologi Imam al-Syafi’i dalam mencari, menyusun
dan menggubal hukum-hakam Islam secara sistematik. Ianya sangat baik untuk
dijadikan rujukan utama bagi mereka yang bergelar pengkaji, mahasiswa, pelajar,
penggerak akademik, dan pemerhati. Ia juga turut menjadi rujukan para ulama
dulu dan kini.

Pandangan para ulama
mengenai kitab al-Risalah….

Kata Imam Abu Sa’id,
‘Abdul Rahman bin Mahdi r.h (
135 – 198H), tentang kitab
al-Risalah;

“Ketika aku
melihat kitab al-Risalah karya al-Syafi’i, aku tercegang kerana aku sedang
melihat (susunan bahasa) seorang yang bijak, fasih, lagi penuh dengan nasihat
sehingga aku memperbanyakkan doa untuknya” (Mukaddimah kitab al-Risalah tahqiq
Syaikh Ahmad Syakir, m/s.
 4)


Imam Abu
Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri
al-Muzani (246H), iaitu murid  kepada Imam al-Syafi’i berkata;


“Saya telah
membaca kitab al-Risalah karya al-Syaf’i sebanyak 50 kali. Setiap kali membacanya,
saya selalu memperoleh faedah yang berbeza-beza”.

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal; “Kalau bukan kerana al-Syafi’i,
saya tidak akan mengetahui fiqh hadis.”


Demikianlah para sahabat dan sekaligus
murid Imam al-Syafi’i menuturkan kekagumannya terhadap kitab al-Risalah,
kitab pertama yang di tulis Imam al-Syafi’i.
Imam Badruddin al-Zarkasyi
di dalam kitab al-Bahr al-Muhith fii al-Ushul menyatakan; 

“ al-Syafi’i adalah ulama pertama yang
menyusun buku tentang ushul fiqh. Bagi bidang ushul fiqh ini, beliau menulis
kitab al-Risalah, Ahkam al-Qur’an, Ikhtilaf al-Hadits, Ibthal al-Istihsan,
Jama’ al-‘Ilm, dan al-Qiyas. Melalui pelbagai pembahagian bab-bab perbahasan
dalam kitab ini, beliau telah menjelaskan selok-belok penghujahan dengan hadis
ahad, membentangkan syarat-syarat kesahihan hadis, keadilan para perawi hadis,
penolakan khabar mursal dan munqathi’, serta perkara-perkara lain yang boleh
diketahui dengan menyemak isi kandungannya.” (Mukaddimah kitab ar-Risalah
tahqiq Syaikh Ahmad Syakir, m/s. 13

Kitab al-Risalah
ini merupakan kitab perdana di bidang Usul Fiqh, bahkan terbilang kitab perdana
di bidang Usul Hadis.  Imam Fakhrurrazi
di dalam kitab Manaqib al-Syafi’i (hlm.57) menyebutkan;
“ Sebelum
Imam al-Syafi’i para ulama telah membicarakan masalah-masalah Usul Fiqah,
mengajukan dalil dan kritik, tetapi mereka tidak memiliki aturan universal yang
menjadi rujukan dalam mengetahui dalil-dalil syariat, serta kaedah perbandingan
dan tarjihnya. al-Syafii lalu menemui Usul Fiqah dan meletakkan sebuah aturan
universal yang menjadi rujukan bagi umat untuk mengetahui berbagai tingkatan
dalil syariat. Dengan demikian, kedudukan al-Syafi’i terhadap ilmu syariat sama
seperti kedudukan Aristotle terhadap ilmu akal ”.


Petikan Pandangan Syaikh al-Muhaddits
Ahmad bin Muhammad bin Syakir (1377H), pentahqiq / penyunting kitab al-Risalah;

Syaikh al-Muhadits Ahmad bin Muhammad
Syakir, telah memberikan kata pengantar yang sangat bernilai  dalam kitab ini yang menjelaskan nilai ilmiah
yang dimilikinya. Beliau juga telah membuat bantahan terhadap orang-orang yang ragu-ragu
bahawa kitab ini adalah karya al-Syafi’i.

Beliau juga ada menyebut sebab atau
latar belakang mengapa Imam al-Syafi’i menulis kitab ini. Menurut
Syaikh Ahmad Muhammad bin Syakir,  Imam al-Syafi’i tidak menamakan kitabnya
al-Risalah, melainkan dengan nama al-Kitab. Berkali-kali dalam karyanya,
al-Syafi’i menyebutkan  kata al-Kitab,
sama ada dengan kata Kitabi, atau kitabuna. Demikian juga dalam
kitab al-Umm, Syafi’i selalu menisbahkan karya pertamanya itu dengan
kata al-kitab (al-Umm. Hal: 253).

Menurut Syaikh Ahmad Syakir lagi, sebab Imam
Syafi’i menamakan kitabnya dengan al-Risalah kerana berlakunya perutusan
surat menyurat antara beliau dengan Abdul Rahman bin Mahdi. Pada ketika itu, al-Syafi’i
menulis al-Risalah atas permintaan Abdul Rahman bin Mahdi di Makkah.
Abdurrahman meminta Imam Syafi’i untuk menuliskan suatu kitab yang mencakup
ilmu tentang al-Qur’an, hal ihwal yang ada dalam al-Qur’an dan disertai juga
dengan hadis Nabi. Kitab ini setelah dikarang, disalin oleh murid-muridnya dan
dikirim ke Makkah. Itulah sebabnya kitab itu dinamakan sebagai kitab al-Risalah.
Kitab ini di tulis di Baghdad selama kunjungan kedua Imam Syafi’i di kota itu
dan kemudian diperbaiki ketika pindah ke Mesir pada tahun 814 M. Setelah itu,
kitab al-Risalah telah menaikkan namanya sebagai intelektual muslim yang
pertama kali meletakkan asas-asas ilmu Ushul Fiqh.

Menurut Syaikh Ahmad Syakir
lagi, kitab al-Risalah disusun oleh Imam asy-Syafi’i sebanyak dua
kali, iaitu kitab al-Risalah al-Qadimah (edisi awal) dan al-Risalah
al-Jadidah
(edisi baru). al-Risalah al-Qadimah disusun oleh Imam
asy-Syafi’i ketika di Makkah demi memenuhi permintaan ‘Abdul Rahman bin Mahdi
rahimahullah (198 H) di ‘Iraq ketika itu. Ia adalah kitab dalam bentuk surat
untuk ‘Abdul Rahman bin Mahdi yang menjelaskan tentang tafsir al-Qur’an,
himpunan hadits-hadits yang boleh diterima, penghujahan dengan ijma’, dan
penjelasan ilmu nasikh wal-mansukh dari al-Qur’an dan as-Sunnah.

Walau bagaimanapun, kitab al-Risalah
al-Qadimah yang dimaksudkan tersebut telah pun luput dari kita dan apa yang
sampai kepada kita hari ini adalah kitab al-Risalah al-Jadidah, dan ia
disusun oleh Imam al-Syafi’i setelah selesainya kitab al-Umm. (Mukaddimah al-Risalah,
m/s. 10-11)
Kata Syaikh Ahmad
Syakir, “Seluruh kitab imam al-Syafi’i adalah contoh sastera ‘Arab yang murni
dan berada di puncak balaghah yang tertinggi. Beliau menulis berdasarkan naluri
yang bersesuaian dengan fitrah, tidak dibuat-buat dan tidak dipaksa-paksa.
Kitab-kitab beliau adalah penjelasan yang paling fasih yang pernah anda baca
setelah al-Qur’an dan hadis, tidak dapat ditandingi oleh satu ucapan pun dan
tidak terkalahkan oleh satu tulisan pun.” (Mukaddimah kitab al-Risalah tahqiq
Syaikh Ahmad Syakir, m/s. 14)

Syaikh Ahmad Syakir, yang juga merupakan
ulama besar kontemporer yang lahir dalam lingkaran pendidikan Universiti  al-Azhar ketika itu, mencadangkan;

“Kitab al-Risalah sepatutnya menjadi
kitab pengajian wajib di Universiti al-Azhar serta universiti-universiti
lainnya. Juga dipilih beberapa bab dari kandungannya untuk dijadikan sebagai
bahan pengajian pelajar-pelajar di peringkat menengah dan pusat-pusat
pendidikan awal supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan dan pandangan hujjah
yang benar lagi kuat.” (Mukaddimah al-Risalah, m/s. 13-14)

Demikianlah apa yang dapat diungkapkan
tentang karya-karya milik Imam al-Syafi’i rahimahullah. Karya-karyanya masyhur
lagi dikenali bagai matahari yang menyinar di waktu siang. Menjadi rujukan dan
panduan buat masyarakat, penuntut ilmu, dan para ulama dahulu dan kini umpama
bintang di malam hari. Para ilmuan dulu dan kini berlumba-lumba mendalaminya,
mengikutinya, dan melakukan kupasan.

Imam Muhyiddin Abu Zakariya Yahya al-Nawawi
r.h. (
631-676H) mengatakan :

“Adapun karya-karya para pendukung imam
al-Syafi’i yang merupakan penjelasan terhadapan matan (teks perkataan),
pernyataan, rangkuman konsep, dan pandangan hasil kaedah-kaedah al-Syafi’i
tidak terhitung jumlahnya. Di samping faedah dan manfaatnya yang sangat banyak,
ukuran dan susunannya pun begitu baik. Ini adalah sebagaimana komentar Abu
Hamid al-Isfirayini, al-Qadhi Abu al-Thayyib, pengarang al-Hawi, Imam
al-Haramain, dan selainnya. Ini semua menjadi bukti nyata akan kedalaman ilmu
Imam al-Syafi’i, kebaikan perkataannya, dan kesahihan niatnya dalam ilmu.”
(al-Majmu’, 1/12)

Kandungan kitab al-Risalah….

Dalam Muqaddimah kitabnya ini Imam al-Syafi’i
-rahimahullah-  menulis muqaddimah yang sangat bernilai, yang menunjukkan
manhaj dan aqidah beliau. Imam al-Syafi’i -rahimahullah-  berkata:

Segenap puji hanya milik Allah yang telah menciptakan langit dan bumi,
serta telah menciptakan kegelapan dan cahaya. Kemudian, orang-orang yang kafir
kepada Rabbnya, mereka melakukan penyimpangan (berpaling). Segala puji hanya
bagi Allah, yang untuk mensyukuri salah satu nikmat-Nya tidak akan terwujud,
kecuali kesyukuran itu merupakan sebuah nikmat dari-Nya. Menunaikan
nikmat-nikmat-Nya yang telah lalu akan memunculkan nikmat baru yang juga
menuntut rasa syukur kepada-Nya.


Orang-orang yang menyifati-Nya tidak akan mencapai hakikat Keagungan-Nya.
Hakikat keagungan-Nya itu sesuai dengan yang disifatinya sendiri dan melebihi
apa yang disifati oleh hamba-hamba-Nya. Aku memuji Allah dengan pujian yang
sesuai dengan kemuliaan wajah-Nya dan keagungan-Nya. Aku memohon pertolongan
kepada Allah dengan permohonan pertolongan orang yang tidak mempunyai daya dan
kekuatan, kecuali dengan bantuan-Nya. Aku memohon Allah hidayah/petunjuk yang
barang siapa mendapatkannya, ia tidak akan sesat. Aku memohon maghfirah dan
ampunan-Nya atas apa yang telah dan akan aku perbuat dengan permohonan ampun
orang yang mengakui penghambaan hanya kepada Dia. Orang yang mengetahui bahwa
tidak ada yang memberi ampunan terhadap dosa dan tidak ada yang dapat
menyelamatkan seseorang darinya, kecuali Dia. Aku bersaksi bahwa tidak ada
Ilah, kecuali Allah, Tunggal, tidak ada sekutu bagi-Nya; dan aku bersaksi bahwa
Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya”.

Dalam kitab
inilah, metode pembentukan hukum genius ala Syafi’i terkuak. Ia menggunakan empat
dasar dalam mengistimbatkan suatu hukum iaitu, al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan
Qiyas. Kata al-Syafi’i; “Tidak boleh bagi seseorang mengatakan suatu masalah
dengan kata ini halal dan ini haram kecuali sudah memiliki pengetahuan tentang
hal itu. Pengetahuan tersebut adalah al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas ”
.

Imam al-Syafi’i dalam karya yang didiktekkan
langsung kepada muridnya, al-Rabi’ bin Sulaiman, telah menyamakan Ijtihad
dengan Qiyas. Ia menyimpulkan bahawa ijtihad adalah Qiyas. Pada ketika yang lain,
beliau menolak dengan tegas metode Ihtihsan, sebuah metode pemikiran
yang dianggap hanya berdasarkan pemikiran bebas manusia atas dasar kepentingan
dan perilaku individual. Kata al-Syafi’i; “ Istihsan adalah pengambilan
hukum yang melulu menuruti kesenangan semata
”. (Hal. 503-507).

Imam al-Syafi’i memang
telah meninggalkan jejak pemikiran yang sangat luar biasa. Buktinya
syarat-syarat ijtihad yang dirumuskannya dalam l-Risalah sampai saat ini terus
dipakai pakar-pakar hukum Islam. Siapapun yang ingin berijtihad harus melampaui
syarat-syarat ini. Di antaranya, wajib  mengetahui bahasa Arab, materi hukum al-Qur’an,
bahasa yang bersifat umum dan khusus, dan mengetahui teori Nasakh.
Kemudian seorang ahli fiqh, menurut Imam al-Syafi’i,
mesti boleh menggunakan Sunnah d
alam menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an yang tegas
dan jelas. Ketika ia tidak menemukan dalam Sunnah, ia harus mengetahui adanya
ijmak (kesepakatan) yang mungkin menginformasikan kes-kes  yang ada. Terakhir, jelas Imam Syafi’i,
seorang ahli fiqh mestilah dewasa, sehat, dan mampu sepenuhnya menggunakan kemampuan
intelektualnya untuk menyelesaikan kes.

Kriteria ini, pada  kemudian hari, menuai puji dan kritikan.
Banyak para pemikir setelah Imam Syafi’i yang menganggap persyaratan ini
terlalu  ketat, sehingga  ramai ulama yang takut memasuki wilayah ijtihad. Hal ini disebabkan oleh
kemunduran ilmu fiqh sekitar abad ke IV H hingga akhir abad ke XIII H. Pada ketika itu
terkenal dengan periode “Taqlid” dan periode “Tertutupnya pintu
ijtihad
”. Pengaruh tersebut begitu dahsyat sampai sekarang ini.


Melalui kitab ini, Imam Syafi’i terkenal sebagai
pemikir yang moderat. Tidak berpihak kepada salah satu kecenderungan besar
sebuah pemikiran, entah itu ahli hadis (para pemikir muslim yang mengutamakan
hadis) ataupun ahli ra’yu (para pemikir muslim yang mengutamakan akal).

Tidak aneh bila para intelektual modern sepakat
bahwa Imam al-Syafi’i sangat berjasa sebagai pengasas ilmu Ushul Fiqh. al-Risalah
Syafi’i, tidak hanya dianggap sebagai karya pertama yang membahas materi
tersebut, sebagai model bagi ahli-ahli fikih dan para teoritisi yang datang
kemudian guna mengikutinya. 
Pada akhirnya Imam Syafi’i menutup karyanya ini
dengan bab Ikhtilaf. Bab ini menunjukkan bahwa Imam Syafii mencintai perbedaan
dan menghargai pendapat orang lain.
Berikut adalah tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam
kitab al-Risalah yang telah ditahqiq oleh Syaikh Ahmad Syakir;


  • BAB I :
    BAYAN


  • BAB II
    :  KITABULLAH


  • BAB III
    : AUTORITI NABI SAW


  • BAB IV :
    NASIKH DAN MANSUKH


  • BAB V :
    KEWAJIBAN-KEWAJIBAN (FARAIDH)


  • BAB VI :
    ALASAN-ALASAN DALAM HADITS


  • BAB VII
    : SIFAT LARANGAN ALLAH DAN RASUL-NYA


  • BAB
    VIII:  HADITS AHAD


  • BAB IX:
    IJMAK


  • BAB
    X : QIYAS


  • BAB XI :
    IJTIHAD


  • BAB XII
    : ISTIHSAN


  • BAB
    XIII : PERBEZAAN PENDAPAT



Terjemahan
kitab al-Risalah..

Kitab ini
telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa dunia. Di sini saya sebutkan beberapa
edisi terjemahan dalam bahasa Melayu/ Indonesia sebagai contoh. Semua edisi
terjemahan berikut adalah berdasarkan kitab al-Risalah yang telah ditahqiq oleh
Syaikh Ahmad Syakir;


1. Ar-Risalah Karya Imam Asy-Syafi’i. Diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Indonesia
dengan  ketebalan sebanyak 604
halaman.

 
2. Ar-Risalah Panduan Lengkap Fikih dan Ushul Fikih. Diterbitkan oleh Pustaka Al-Kautsar, Indonesia
dengan ketebalan sebanyak 446 halaman.
 
3. Kitab
Ar-Risalah Imam Syafii
. Diterjemahkan oleh Dr. Muhammad Amar
Adly MA dan diterbitkan oleh Jasmin Publications.

 
Bagi memiliki Kitab al-Risalah edisi Arabnya dalam file PDF  sila   Klik
disini
.  Kitab ini merupakan kitab yang telah ditahqiq
oleh Syaikh Ahmad Syakir, iaitu kitab yang telah diterbitkan oleh Dar al-Kutub
al-Ilmiyyah.

Semoga bermanfaat.

Rujukan;
 

http://www.sufiz.com/jejak-wali/imam-syafii-ar-risalah-dan-al-umm-dua-karya-agung-yang-terus-dikaji-sampai-kini-bagian-ke-5-habis.html 

http://atsar.ilmusunnah.com/index.php?route=product/product&path=76&product_id=158


, Terimakasih telah mengunjungi Keimanan.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com, pasang iklan gratis Iklans.com dan join di komunitas Topoin.com.

Most Popular

To Top